Increase Font Size   Decrease Font Size   Print Page   Email Friend
06 Mar 2011
Anak Kurang Upaya Tunggak Keluarga
 

By Haryani Ismail

Walau dirinya sendiri memerlukan bantuan, si anak dengan sabar dan tekun menjaga makan minum, ubat-ubatan serta menghantar ibunya yang menghidap kencing manis ke hospital untuk pemeriksaan dan membuat kerja rumah 


KASIH SUCI SEORANG ANAK: Cik Suhana Suhaimi (kanan) mengatasi rasa takutnya dengan jarum dan membantu ibunya, Cik Moona Awang, yang menghidap kencing manis melakukan suntikan insulin dan ujian darah setiap hari. Memerhatikan di belakang ialah bapanya, Encik Suhaimi Sarkam yang telah menjalani pembedahan jantung.

TUBUH Cik Suhana Suhaimi terenjut-enjut dan meliuk-liuk ketika beliau tampil menghulur salam mesra kepada wartawan yang berdiri di muka pintu rumahnya.

Pertuturannya tidak jelas, tetapi mampu dikenal pasti patah perkataan yang tersusun rapi. Wajahnya berkerut-kerut – sesuatu yang tidak dapat dikawal sejak dikesan menghidap kelumpuhan otak (cerebral palsy) ketika kecil lagi.

Di sebalik keadaannya yang merentap tangkai hati sesiapa yang memandang, kecekalan dan keceriaannya menambah seri pada kehidupan ibu bapanya yang sudah berusia, Cik Moona Awang dan Encik Suhaimi Sarkam.

Cik Suhana, 34 tahun, yang kini menjalani latihan pentadbiran di Persatuan Golongan Kurang Upaya, bahkan menjaga ibunya yang menghidap kencing manis dengan penuh kasih sayang dan keprihatinan.

Beliau akan menghantar ibunya untuk rawatan dan pemeriksaan doktor di Hospital Besar Changi.
Setiap kali doktor memberi panduan ubat untuk dimakan si ibu dan senarai larangan pemakanan bagi pesakit kencing manis, Cik Suhana akan mendengar dengan penuh teliti.

Kerusi roda ibunya juga disorong perlahan-lahan di kolong blok mereka di Eunos Crescent, sebelum ibunya dihantar ke sesi terapi di Pusat Jagaan Kesihatan dan Harian Muhammadiyah, tiga kali seminggu.
Kasih sayangnya yang tidak terhingga terhadap Cik Moona, 66 tahun, menyentuh perasaan jururawat Pusat Kencing Manis, Hospital Besar Changi, Cik Lim Xueli, yang dipanggil keluarga itu dengan gelaran manja ‘Cik Siti’.

Cik Lim telah mencalonkan Cik Suhana untuk Anugerah Pengasuh Pencetus Inspirasi SingHealth kerana jerih payah yang dilalui menjaga ibunya yang sakit dalam keadaan beliau sendiri memerlukan dorongan.

Tahun ini, SingHealth mengenalkan anugerah tersebut sebagai mengiktiraf dedikasi insan-insan istimewa yang berkorban masa dan tenaga memberi semangat bagi memperbaiki keadaan kesihatan orang tercinta.

Anugerah tersebut disampaikan di auditorium Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) bersama Anugerah Pesakit Pencetus Inspirasi pada 1 Mac lalu. Setiap daripada 37 penerima anugerah itu menerima baucar membeli-belah bernilai $250.

ENGGAN JADI ANAK DERHAKA

 “Emak dah jaga saya dan bersabar dengan kerenah saya sejak kecil. Saya tak ’kan lupakan jasanya. Saya tak nak jadi anak derhaka,” katanya dengan nada selamba. Cik Moona, bekas tukang masak yang juga pernah diserang angin ahmar, tersenyum tersentuh dengan kesungguhan anak tunggalnya itu.

“Saya tidak dapat bayangkan kehidupan kami tanpa Suhana. Sewaktu umurnya empat hari, dia diserang sakit kuning. Sejak itu, kami dapat tahu dia menghidap kelumpuhan otak.

“Kami reda dan harapkan yang terbaik untuknya. Perlahan-lahan, dia belajar berdikari. Kami bersyukur dia boleh juga buat kerja rumah dan masak yang mudah-mudah seperti nasi goreng,” cerita Cik Moona.

Ditanya apakah cabaran menjaga ibunya itu, Cik Suhana tertawa dan berseloroh, mencuit hati kami yang mendengar.
 
“Semasa kecil dulu, kalau saya nakal dan buat perangai, emak akan marah dan lempang. “Tetapi, bila emak degil tak nak makan ubat, takkan saya nak lempang dia bukan? Nanti jadi anak derhaka macam si Tanggang!

“Saya sabar sahaja dan nasihatkan emak agar jangan ambil ringan kesihatannya. Di luar sabar, dalam hati geram juga,” katanya, tertawa manja.

Beliau yang mengaku takut jarum juga perlu mengatasi rasa takutnya itu untuk membantu ibunya melakukan suntikan insulin dan ujian darah setiap hari. Apa yang menyuntik keinsafan dalam diri wartawan ialah di sebalik kesempitan yang dirasakan keluarga ini, mereka tetap bersikap positif.

Encik Suhaimi, 76 tahun, seorang pesara, juga menjalani pembedahan jantung beberapa bulan lalu.
Keluarga ini pula hanya menyara kehidupan dengan bantuan kewangan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebanyak $380 sebulan dan pendapatan kecil Cik Suhana sebanyak $150 sebulan.

Dalam kami tergelak ketawa, Cik Moona pula menceritakan kepiluan yang menyelubungi sanubarinya ketika dimasukkan ke hospital. “Saya terlihat Suhana tidur di kerusi hospital di sebelah katil saya suatu pagi. Saya hairan mengapa dia di situ dan tidak pulang-pulang.

“Dia tak sampai hati nak beritahu, dia tiada duit nak naik teksi untuk pulang ke rumah malam sebelumnya. Dia hanya memberitahu saya selepas saya keluar dari hospital. Kasihan bukan?” jelas Hajah Moona.

Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Di sebalik kepayahan dan kekurangan ini, Cik Suhana begitu cekal dan sempat memberitahu cita-citanya yang beliau harap akan kesampaian dalam masa terdekat. Lulusan Sekolah Komersial Bedok itu berkata: “Saya berharap akan dapat kerja dengan pendapatan lebih banyak untuk menampung kehidupan keluarga. Saya tidak mampu mengecewakan ayah dan ibu saya.”

Setia ‘berkhemah’ di hospital menemani insan tersayang  

HATI mana yang tidak diselubungi pilu melihatkan teman wanitanya yang muda belia menderita penyakit lupus.Encik Irwan (bukan nama sebenar), yang ketika itu berusia 38 tahun, menghabiskan masanya hampir setiap malam menemani Cik Aishah (juga bukan nama sebenar), 22 tahun, yang terlantar layu di Hospital Besar Changi (CGH).

Lupus adalah sejenis penyakit yang membawa maut di mana sistem daya melawan penyakit atau imun seseorang itu menyerang sel dan tisu sihat, menyebabkan radang organ dan kerosakan tisu.
Dalam sekelip mata, penyakit yang lebih kerap menyerang wanita berusia antara 15 tahun dengan 35 tahun berbanding lelaki itu menjejas fungsi jantung, sendi, paru-paru, saluran darah, hati dan sistem saraf.

Hari demi hari Encik Irwan menyaksikan penyakit kronik itu kian memamah tenaga Cik Aishah, seorang pegawai khidmat pelanggan. Cik Aishah keluar masuk Unit Jagaan Rapi (ICU) di CGH, tetapi akhirnya tewas dan menghembuskan nafas terakhir selepas enam bulan berjuang dengan kecekalan, sekitar Disember 2008.

Pengalaman menyedihkan itu masih tersemat di hati Encik Irwan, seorang jurulatih kecergasan peribadi yang baru-baru ini menerima Anugerah Pengasuh Pencetus Inspirasi, yang dianugerahkan SingHealth buat julung-julung kalinya tahun ini. Beliau dicalonkan oleh Profesor Julian Thumboo dan seorang jururawat, Cik Yvonne Loh dari Jabatan Sakit Tulang.

Ketika dihubungi Berita Minggu, Encik Irwan, yang kini berusia 40 tahun dan sudah berumah tangga, menceritakan dengan nada sebak: “Saya mengenali Aishah tidak sampai sebulan di tempat kerja. Kami hanyalah rakan tetapi selepas beliau dikesan menghidap lupus, saya terpaut hati dengan semangat positifnya yang tidak pernah pudar walau menderita.

“Saya tersentuh dengan kesungguhannya, maka setiap hari saya datang ke hospital, malahan tidur di kerusi wad untuk memberinya semangat dan kekuatan untuk teruskan perjuangan.” Beliau akur ada juga teman-teman yang bertanya kepadanya mengapa beliau masih kekal mencurah kasih kepada seorang gadis yang tenat dan kemungkinan besar tidak akan menjadi isterinya.

Jawabnya mudah: “Saya ikhlas membantunya dan keluarganya mengharungi masa- masa sukar. Kita hanya mampu berdoa dan mengharapkan yang terbaik. Tak ’kan kerana penyakitnya, maka saya terus tinggalkannya begitu sahaja, sedangkan keihsanan itu dianjurkan dalam agama.”

Encik Irwan, bagaimanapun, tidak sempat bersama Cik Aishah di saat-saat akhir kehidupannya. Pada ketika itu, beliau dan rakan-rakan kelas agamanya berhimpun beramai-ramai untuk mendoakan kesihatan Cik Aishah.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan doakan yang terbaik untuk keluarga beliau. Kami sama-sama kehilangan tetapi berusaha meneruskan kehidupan, tanpa banyak berfikir tentang kenangan silam,” ujarnya lagi. “Saya mengenali Aishah tidak sampai sebulan di tempat kerja. Kami hanyalah rakan tetapi selepas beliau dikesan menghidap lupus, saya terpaut hati dengan semangat positifnya yang tidak pernah pudar walau menderita. Saya tersentuh dengan kesungguhannya, maka setiap hari saya datang ke hospital, malahan tidur di kerusi wad untuk memberinya semangat dan kekuatan untuk teruskan perjuangan.” – Encik Irwan (bukan nama sebenar)

Conditions & Treatments
Find A Doctor
Book An Appointment
Admission And Charges
Events
Newsroom
Health XChange
Quick Links