| 14 December 2007 Peluang terus kerja bagi 28,000 di sektor kesihatan Berita Harian - pg 2
LEBIH 28,000 pekerja National Healthcare Group (NHG) dan Singapore Health Services (SingHealth) kini berpeluang diambil bekerja semula oleh kedua-dua kelompok kesihatan itu apabila mereka mencapai usia 62 tahun.
Mereka akan diambil bekerja semula dengan pekerjaan yang sama atau pekerjaan lain, selagi mereka mempamerkan mutu pekerjaan yang baik dan berada dalam keadaan sihat.
Dasar pengambilan semula pekerja oleh kedua-dua kelompok itu diperkenalkan, walaupun undang-undang bagi dasar tersebut dijangka diluluskan hanya pada 2012.
Satu kenyataan bersama NHG, SingHealth dan Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA) berkata sektor penjagaan kesihatan merupakan yang pertama memanfaatkan skim Advantage.
Skim oleh WDA, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Nasional Singapura (Snef) itu menawarkan geran sehingga $400,000 bagi setiap syarikat untuk membantu mereka melaksanakan dasar pengambilan pekerjaan, merekrut, mengekal dan mengambil semula pekerja matang.
Sekitar 40 peratus pekerja daripada kedua-dua kelompok itu kini berusia lebih 40 tahun manakala lebih 700 pula akan mencapai usia persaraan 62 tahun dalam masa lima tahun.
Mereka adalah pekerja yang akan ditawarkan pilihan untuk diambil semula bekerja sebelum bersara.
Sekitar 2 peratus pekerja dua kelompok itu pula berusia lebih 62 tahun.
Ketua Eksekutif WDA, Encik Ong Ye Kung, berkata pelaksanaan awal dasar itu memberi kedua-dua kelompok kelebihan dalam memperkenalkan sistem dan proses bagi pengambilan semula pekerja, termasuk menyesuaikan sekitaran fizikal tempat bekerja bagi menerima lebih ramai pekerja matang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SingHealth, Profesor Tan Ser Kiat, berkata sektor penjagaan kesihatan mempunyai potensi untuk menawarkan kerjaya sepanjang hayat kerana usia matang membawa bersama pengalaman dan kepakaran yang sukar ditukar ganti.
|