| 21 November 2007 JURURAWAT CEMERLANG - TAK KEKOK MEMBANTU Berita Harian - pg 9
KHIDMAT DENGAN SENYUMAN: Cik Ayshabeevi merawat luka di lutut seorang pesakit lelaki warga tua di Poliklinik Bedok. Sikapnya yang peramah dan suka tersenyum membuat pesakit senang bersamanya. (FOTO: TUKIMAN WARJI)
By Dewani Abbas
PADA suatu hari semasa Cik Ayshabeevi Abdul Rahman sedang berada di luar Poliklinik Bedok tempat beliau bekerja, beliau terserempak dengan seorang wanita tua tidak berteman yang ingin ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Wanita itu ketika itu menghidap ulser di kaki.
Tanpa berlengah, Cik Ayshabeevi, seorang jururawat, membawa wanita itu ke tempat perhentian teksi.
Tetapi jiwanya yang suka menolong orang dalam kesusahan membuatnya tergerak untuk ikut sama wanita itu sampai ke hospital.
Apabila mengetahui wanita itu tidak mempunyai wang untuk membayar tambang teksi, Cik Ayshabeevi tidak teragak-agak membayarkannya.
Dalam satu peristiwa lain di poliklinik yang sama, Cik Ayshabeevi melihat seorang lelaki India sedang menunggu giliran yang masih jauh untuk berjumpa doktor dalam kesakitan yang amat sangat.
Rupa-rupanya beliau menghidap apendiks, yang memerlukan rawatan segera.
Simpati dengan keadaan lelaki itu yang tidak tahu berbahasa Inggeris, Cik Ayshabeevi mendekatinya dan berbicara dengannya dalam bahasa Tamil.
Beliau kemudian menolong lelaki itu berjumpa doktor segera.
“Bagi saya, membantu pesakit bukan saja satu tugas dalam kerjaya saya, tetapi sesuatu yang memang saya suka lakukan.
“Sejak kecil saya telah memikirkan apakah pekerjaan yang boleh membuat saya dapat menolong orang lain.
“Saya kemudian mendapati menjadi jururawat adalah salah satu caranya,’’ kata ibu berusia 45 tahun itu, yang murah senyum dan peramah dengan pesakitnya.
Beliau mempunyai tiga orang anak berusia 13 tahun, 18 tahun dan 20 tahun.
Dengan sikap kerja yang positif dan komitmen tinggi dalam kerjaya yang diceburi, tidak hairanlah Cik Ayshabeevi baru-baru ini terpilih sebagai salah seorang daripada tiga finalis daripada industri penjagaan kesihatan yang dicalonkan untuk menerima Anugerah Khidmat Cemerlang (Exsa) bagi kategori SuperStar.
Kategori itu adalah yang tertinggi diberikan di bawah Exsa kepada kakitangan yang cemerlang dalam pelbagai industri.
Kesemuanya, 10 orang menerima anugerah itu di bawah kategori SuperStar pada 6 November lalu.
Ketiga-tiga finalis daripada industri penjagaan kesihatan itu adalah daripada institusi-institusi SingHealth.
Dua lagi finalis ialah Cik Janet Khoo, jururawat klinik dari Pusat Sakit Puan dan Perbidanan Hospital Besar Singapura (SGH); dan Cik Peh Bee Har, pengurus jururawat dari Pusat Urologi SGH.
Sebelum ini, Cik Ayshabeevi menerima Anugerah Exsa bagi kategori Perak pada 2005 dan kategori Emas pada tahun lalu.
“Saya begitu terperanjat dan tidak sangka apabila dicalonkan lagi pada tahun ini. Bagaimanapun, saya sungguh besar hati, gembira dan terharu dengan sokongan yang diberikan,’’ katanya.
Beliau menyertai Poliklinik Bedok pada tahun 2003 setelah berhenti selama lapan tahun sebagai jururawat untuk menumpukan perhatian pada rumah tangga dan menjaga anak-anaknya.
“Saya memang amat meminati bidang ini, jadi saya kembali bekerja selepas anak-anak dah besar, dan saya kembali ke poliklinik ini kerana saya suka dengan sekitaran kerjanya,’’ katanya yang tinggal di Depot Road.
Sebagai jururawat, beliau melakukan khidmat seperti ujian pencegahan penyakit dengan membuat ujian mata dan kaki untuk pesakit kencing manis, menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan pesakit daripada pelbagai latar belakang budaya, dan menyampaikan pengetahuan kepada pesakit untuk menguruskan kesihatan mereka sendiri, seperti merawat luka di rumah.
Pada waktu senggang, beliau juga menyumbangkan khidmat sukarela di rumah tumpangan warga tua Jamiyah.
|