
PENDIDIK JURURAWAT: Hasil pengalaman dan pengetahuan beliau, Cik Rohanah (tengah) antara lain sekarang terlibat dalam membimbing para jururawat dalam menguruskan para pesakit penyakit kronik, seperti diabetes. - Foto-foto TUKIMAN WARJI
Rohanah ceburi bidang kejururawatan hingga diberi penghormatan tertinggi
“KALAU kesampaian, Rohanah akan menjadi jururawat yang bagus pada masa depan.”
Itulah kata-kata terakhir datuk Cik Rohanah Pagi kepadanya semasa beliau di ambang maut akibat komplikasi beberapa penyakit pada 1970.
Berkat kekata itu, Cik Rohanah kini menjadi jururawat klinisian kanan SingHealth Polyclinics.
Baru-baru ini pula sempena Hari Jururawat, yang disambut setiap 1 Ogos, beliau diberi penghormatan tertinggi dalam bidang kejururawatan di sini – Anugerah Kejururawatan SingHealth-Yayasan Lee-Yayasan D.S. Lee.
Anugerah itu disampaikan dalam satu majlis di Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC).
Menceritakan tentang kata-kata arwah datuknya, Cik Rohanah, 57 tahun, berkata:
“Ketika itu saya menunggu keputusan peperiksaan Cambridge dan datuk saya pula jatuh sakit. Saya menjaga, mendukung dan menguruskannya. Malah, beliau meninggal di pangkuan saya.
“Itulah titik tolak tercetus minat saya terhadap bidang kejururawatn.”
Berbekalkan pembakar semangat daripada arwah datuknya itu, Cik Rohanah, kini ibu empat anak perempuan dewasa, tidak pernah berhenti berbakti hingga kini.
Antara tugas Cik Rohanah sekarang ialah memberi khidmat kaunseling kepada pesakit penyakit kronik dan khidmat-khidmat berkaitan, terutama bagi pesakit kencing manis.
Beliau juga anggota pasukan yang menghasilkan bahan pengurusan penyakit kronik, seperti risalah, kain rentang serta kit jagaan sendiri, dan membangunkan sukatan pelajaran.
Ketika ditanya mengapa beliau memberi tumpuan pada pengurusan penyakit kronik, Cik Rohanah berkata: “Melihatkan masyarakat kita semakin menua, saya rasa kian ramai juga yang kurang tahu tentang betapa bahayanya jika penyakit kronik mereka mengalami komplikasi.
“Oleh itu, saya ingin meningkatkan lagi kesedaran dalam masyarakat, terutama sekali masyarakat Melayu/Islam.”
Menurut pemegang ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dari Universiti La Trobe ini, beliau antara anggota kohort jururawat perintis yang diberi pengiktirafan sebagai Pendidik Jururawat Diabetes di sini pada 2002.
Beliau juga sangat aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan, seperti dalam program pemeriksaan kesihatan di masjid, serta terlibat dalam beberapa misi, antaranya rombongan perubatan haji.
Salah seorang pesakit yang pernah diurus Cik Rohanah, Cik Salamah Ahmad, 47 tahun, sehingga kini masih mengingati beliau.
Menurut Cik Salamah, Cik Rohanah menguruskanbeliau di Poliklinik Tampines sewaktu beliau keguguran pada 1995.
“Pada waktu itu saya memang tidak dapat berfikir dengan jelas lagi. Sambil memegang bahu saya, beliau menasihati saya dan menunjukkan beliau mengambil berat.
“Sehingga sekarang saya tidak dapat melupakannya,” ujar suri rumah itu.
Buat masa terdekat ini, Cik Rohanah akan meneruskan segala apa yang diusahakan selama ini.
“Kerjaya ini merupakan satu seruan alami bagi saya. Saya telah menjadi seorang yang lebih tabah kerana dapat melihat kesengsaraan yang dihadapi para pesakit dalam menjalani kehidupan berpenyakit.
“Saya menjadi lebih berpengetahuan tentang penyakit dengan menjadi seorang jururawat dan berupaya membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan saya,” kata Cik Rohanah.