
PESAKIT DIUTAMA: Meskipun jadualnya sangat padat sehingga Sabtu, Cik Norhayati tidak melupakan pesakitnya, termasuk secara sukarela menjenguk dan merawat mereka di rumah.
MELIHAT dedikasi dan cintanya terhadap bidang kejururawatan, Kementerian Kesihatan (MOH) menganugerahkan biasiswa kepada Penolong Pengarah Jururawat Hospital Besar Singapura (SGH), Cik Norhayati Ahmad, bagi beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana baru-baru ini.
Beliau, 51 tahun, turut diberi penghormatan tertinggi dalam bidang kejururawatan di sini – Anugerah Kejururawatan SingHealthYayasan Lee-Yayasan D.S. Lee – sempena Hari Jururawat, yang disambut setiap 1 Ogos.
“Bagi saya, mengenali dan mendapatkan sokongan daripada keluarga SGH, seperti para jururawat dan pakar bedah, sudah memadai.
“Saya juga telah banyak belajar daripada sekitaran saya dan sifat-sifat mengambil berat dan saling menjaga seakan sudah tertanam dalam diri saya,” ujar Cik Norhayati.
Menurut Cik Norhayati, beliau memang sangat bertekad untuk melanjutkan pengajian, terutama di peringkat sarjana.
Beliau telah mengikuti kursus ortopedik dan pemulihan serta memiliki ijazah Sarjana Muda dalam Sains Kesihatan dalam Kejururawatan.
Kini Cik Norhayati sedang mengambil diploma Penjagaan Dalam Kediaman dari Universiti Curtin di Perth, Australia.
“Masa dan keadaan berubah, terutama sekali bagi bidang penjagaan kesihatan. Kita tidak boleh menafikan kesan teknologi maklumat dalam kerja harian kita.
“Jika saya ingin membimbing jururawat lain, saya sendiri harus pertingkat dan kemas kini semua kemahiran yang saya ada. Kita harus memandang jauh ke hadapan,” kata Cik Norhayati, yang turut minat belajar bahasa baru dan telah pun menguasai bahasa Jepun.
Selain kuat belajar, beliau melaburkan masanya dalam projek-projek yang berupaya mempertingkat mutu penjagaan para pesakit.
Antara projek yang dijayakannya ialah projek membina alat membantu pergerakan pesakit ortopedik.
Keberkesanan projeknya itu telah menarik perhatian MOH dan beliau telah diberi $16,000 untuk melengkapkan beberapa wad dengan alat tersebut.
Usaha murni Cik Norhayati turut diiktiraf menerusi anugerah-anugerah lain yang beliau terima sebelum ini, termasuk Bintang Khidmat Cemerlang (2006); Anugerah Cemerlang CEO SingHealth Group dan Sijil Penghargaan Aktivis Cemerlang Luar Biasa PS21 ( 2008).