Miliki sumber, keupayaan perubatan yang tinggi dan semangat sukarelawan
Memiliki sumber dan keupayaan perubatan yang tinggi selain mempunyai semangat sukarelawan kini meletakkan warga Singapura dalam kedudukan baik untuk membantu apabila berlaku sebarang malapetaka.
Menyatakan demikian semalam, Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Encik Hawazi Daipi, berkata: “Sejak beberapa tahun lalu, SingHealth dan kumpulan penjagaan kesihatan yang lain telah menyediakan bantuan perubatan dalam pelbagai misi kemanusiaan.
“Sama ada ia malapetaka tsunami pada 2004, gempa bumi di Kashmir pada 2005, gempa bumi di Jawa pada 2006 dan baru-baru ini Taufan Nargis dan banjir di Yaman tahun lalu, sokongan dan respons anda yang pantas telah membantu mengurangkan kesengsaraan ramai mangsa malapetaka itu.”
Beliau berkata demikian sewaktu pelancaran Program Bantuan Kemanusiaan SingHealth di Pusat Pergigian Nasional semalam.
Program Bantuan Kemanusiaan SingHealth itu antara lain bertujuan melatih para sukarelawan dalam program bantuan kemanusiaan dengan kerjasama badan-badan seperti Palang Merah Singapura dan Mercy Relief.
Program itu dipimpin Dr Mark Leong, yang merupakan ketua dan konsultan kanan di Hospital Besar Singapura (SGH).
SingHealth juga telah menghasilkan satu buku panduan bagi sukarelawan yang mengandungi pelbagai pengalaman para relawan dalam misi-misi kemanusiaan yang pernah mereka lalui sebelum ini.
Menurut Encik Hawazi, Singapura bernasib baik kerana tidak menghadapi bencana alam dan malapetaka lain.
“Malangnya, tidak semua negara mempunyai nasib serupa. Dengan menggabungkan kekuatan kita dalam keupayaan perubatan dan sumber dengan semangat sukarelawan yang kental, warga Singapura dalam kedudukan baik untuk menghulurkan bantuan apabila berlaku malapetaka,” ujar Encik Hawazi.
Dalam majlis semalam, beliau turut memuji usaha badan-badan seperti Palang Merah Singapura dan Mercy Relief yang telah banyak mengetuai bantuan kemanusiaan itu.
“Mereka telah menyertai berpuluh-puluh misi kemanusiaan, menyediakan bantuan asas seperti makanan dan bekalan air bersih kepada mangsa dan membantu masyarakat yang terjejas membangunkan semula hidup mereka.
“Karyawan penjagaan kesihatan seperti anda juga memainkan peranan penting – dalam menyediakan bantuan perubatan yang pantas, dan menubuhkan hospital-hospital sementara bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang penting,” tambahnya.