SingHealth
Keep in touch:
Facebook Youtube RSS Picas
Increase Font Size   Decrease Font Size   Print Page   Email Friend
26 Mar 2008
PENYAKIT KRONIK -- PROGRAM ELAK KOMPLIKASI 
Berita Harian - pg 9 

FOTO: DEWANI ABBAS

PANTAU PENYAKIT: Dr Noridah Ab Rasip (kiri) dari Hua Mei Seniors Clinic di Bukit Merah View, semasa menjalankan ujian darah bagi pesakit kencing manis, Cik Lee Chye Lan, di bawah program DOT.
By Dewani Abbas

SingHealth kerjasama dengan doktor GP, industri ubat, badan penjagaan kesihatan profesional bantu pesakit kronik

CIK Lee Chye Lan telah menghidap kencing manis sejak tiga tahun lalu. Untuk merawat penyakitnya, beliau berulang-alik ke klinik rawatan khas untuk pesakit luar di Hospital Besar Singapura (SGH) selama tiga tahun.

Tetapi sejak Januari tahun ini beliau tidak diperlukan lagi ke klinik khas tersebut kerana keadaan kesihatannya sudah semakin mantap.

Bagaimanapun, untuk memastikan penyakit kencing manisnya terus terkawal lantaran penyakit itu mudah menjadi teruk jika tidak dijaga, beliau telah dirujukkan ke klinik swasta, Hua Mei Seniors Clinic, di Blok 119, Bukit Merah View.

Cik Lee, 61 tahun, ibu seorang anak perempuan berusia 21 tahun, gembira dengan rawatan yang diterimanya di klinik itu, malah senang dengan Dr Noridah Ab Rasip, doktor sepenuh masa di klinik itu yang mesra dengannya dan mengawasi keadaan kesihatannya dengan teliti.

“Penyakit kencing manis saya sudah semakin baik. Saya juga suka dengan tempat ini kerana ia dekat dengan rumah saya. Dr Noridah seorang yang penyabar dan sudi mendengar luahan saya,” kata bekas penolong penyelidik ini yang tinggal di Queenstown.

Beliau juga menghidap tekanan darah tinggi sejak 10 tahun lalu.

“Di klinik rawatan khas di hospital saya berjumpa beberapa doktor berlainan dan hanya diberitahu secara menyeluruh tentang penyakit saya, tetapi di klinik ini, penerangan yang diberikan lebih terperinci,” tambahnya.

Dua bulan sekali beliau ke klinik Dr Noridah untuk pemeriksaan. Kadar gula, tahap kolesterol, organ hati, kekuatan jantung dan ginjalnya juga diuji.

Rawatan di klinik yang dijalani Cik Lee itu diusahakan di bawah satu program disebut ‘Delivering on Target’ (DOT) atau Program Bantuan Bermatlamat yang dimulakan oleh kumpulan khidmat kesihatan, SingHealth, sejak Ogos 2005.

Melalui program itu, SingHealth bekerjasama dengan para doktor rawatan am (GP), industri ubat-ubatan dan badan-badan penjagaan kesihatan profesional untuk membantu para pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, menangani penyakit mereka ke tahap yang lebih baik.

Ini bagi mengelakkan mereka mengalami komplikasi penyakit seperti pemotongan kaki, buta, angin ahmar, penyakit ginjal dan jantung yang membawa kepada beban kos yang besar.

Dr Noridah merupakan salah seorang daripada 134 doktor (sehingga Disember tahun lalu) yang mengambil bahagian dalam program DOT ini. Bilangan pesakit yang terlibat sehingga tempoh itu pula ialah seramai 579 orang.

Ditemui di kliniknya yang memberikan rawatan khusus untuk pesakit berusia 40 tahun ke atas, Dr Noridah berkata sejauh ini lima pesakit dirawat di kliniknya di bawah program DOT.

“Berapa kerap para pesakit ini dipantau kesihatan mereka bergantung kepada sejauh mana penyakit mereka terkawal. Bagi kencing manis, misalnya, jika ia tidak dikawal dengan baik, kami akan pantau setiap bulan. Kami juga berikan kaunseling tentang pemakanan memandangkan ramai pesakit kencing manis cetek pengetahuan tentang aspek ini,” kata Dr Noridah.

Mengenai Cik Lee, katanya: “Beliau seorang pesakit yang tekun menjaga kesihatannya. Bila menemui saya, beliau akan tunjukkan rekod kesihatannya yang dicatat tiga kali seminggu seperti kadar glukos dan tekanan darah tingginya.

“Nampaknya kadar gulanya baik – di bawah paras 7 peratus, begitu juga tekanan darah tingginya. Kadar 130/85 atau lebih rendah adalah baik untuk tekanan darah tinggi. Kadar baik ini harus konsisten sepanjang sekitar enam bulan.”

Program DOT berkesan

PROGRAM ‘Delivering on Target’ (DOT) atau Program Bantuan Bermatlamat’ telah menunjukkan kesan yang memberangsangkan.

Data yang dikumpulkan daripada 370 pesakit kencing manis yang menyertai program anjuran SingHealth itu menunjukkan kadar mereka yang berjaya mencapai kawalan optimum bagi kencing manis mereka telah meningkat daripada 26.5 peratus kepada 51.4 peratus.

Pada keseluruhannya berdasarkan ujian, kadar glukos dalam darah para pesakit ini telah menunjukkan kemerosotan daripada 8.23 peratus kepada 7.32 peratus.

Ukuran bagi glukos dalam darah dicapai melalui ujian HbA1c atau ujian ‘glycosylated haemoglobin’ (molekul dalam sel-sel darah merah yang melekat pada glukos dalam darah).

Lebih tinggi glukos dalam darah, maka lebih banyak kadar glycosylated haemoglobin dalam tubuh seseorang.

Di Singapura, kadar HbA1c yang baik yang disarankan bagi menandakan kencing manis pesakit terkawal adalah di bawah 7 peratus.Bagaimanapun, menurut SingHealth, tahap kemajuan yang dicapai bagi pesakit tekanan darah tinggi dan penghidap kadar kolesterol tinggi di bawah DOT tidak begitu besar.


 


Conditions & Treatments
Find A Doctor
Book An Appointment
Admission And Charges
Events
Newsroom
Health XChange
Quick Links
Subscribe to RSS Feed